Monday, May 19, 2008

Salah faham proses undi - Karpal

Utusan Malaysia (30/4/08): Tindakan wakil rakyat pembangkang memberi 17 undi kepada calon Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berpunca daripada salah faham mereka terhadap proses pengundian tersebut.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, ia bukan menandakan perpecahan dalam pakatan pembangkang memandangkan calon mereka, Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) memperolehi undi sebulat suara daripada kesemua 81 ahli Parlimen yang mewakili ketiga-tiga parti pembangkang.

"Semua salah faham kerana sesetengah mereka fikir perlu mengundi dua nama berikutan ia dinyatakan dalam kertas undi. Malah, Tian Chua (DAP-Batu) meminta penjelasan dan Speaker memberitahu mereka boleh mengundi satu nama. Mungkin dalam keadaan kelam-kabut membuang undi, ada wakil rakyat yang tidak perasan perkara itu," katanya.

"Jadi 17 wakil rakyat pembangkang ini bimbang jika mereka mengundi satu nama, undi mereka akan ditolak atau tidak dikira. Itulah sebabnya bukan kerana mereka menyokong Wan Junaidi. Jadi, beliau janganlah gembira sangat. Wakil rakyat itu salah faham proses undian saja," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Ditanya kenapa Seng Giaw kehilangan satu undi pembangkang yang sepatutnya berjumlah 82 undi, Karpal berkata, mereka cuba mengesan siapakah wakil rakyat yang berpaling tadah itu.

Katanya, ia bukan satu kerja mudah kerana kertas undi tidak dipamerkan kepada umum walaupun wakil rakyat berkenaan menandatangani kertas tersebut.

Beliau menyatakan pihak pembangkang mengesyaki seorang individu tertentu tetapi apabila ditanya apakah individu itu adalah Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, Karpal menyatakan hanya 'Tuhan yang tahu' siapa orang itu.

Menurut Karpal, beliau melihat tindakan individu itu yang tidak mengundi Seng Giaw sebagai melanggar disiplin dan patut dikenakan tindakan.

Pengerusi Pemuda Sosialis DAP, Nga Kor Ming (DAP-Taiping) turut berkongsi pendapat dengan Karpal dan menganggap tindakan memberi 17 undi kepada Wan Junaidi adalah tersilap maklumat berhubung bilangan calon yang perlu diundi.

"Ia salah komunikasi saja. Ada dua calon mesti ditulis, oleh kerana pembangkang cuma mencalonkan satu nama, maka mereka undi satu nama lagi supaya undi mereka tidak dianggap rosak. Namun, calon DAP, Dr. Tan Seng Giaw mendapat undi sebulat suara daripada 81 wakil rakyat pembangkang. Kami beri sokongan padu kepada beliau," katanya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali berkata, apa yang berlaku di Dewan Rakyat semalam bukan satu permulaan yang menunjukkan pakatan pembangkang tidak bersatu sebaliknya ia disebabkan oleh penjelasan yang agak terlewat mengenai prosedur mengundi.

Katanya, undi pembangkang kepada Seng Giaw adalah tidak berbelah bahagi kecuali satu undi yang mungkin diberikan oleh wakil Bebas.

"Mungkin satu undi itu seperti yang Speaker katakan adalah daripada wakil yang mengaku dirinya bebas. Itulah sebenarnya yang berlaku, bukannya berlaku perpecahan. Ini bukan soal tidak bersatu. Kalau penjelasan diberikan lebih awal, saya yakin BN tidak akan dapat undi lebih daripada 140," katanya.

Beliau yang juga Ketua Whip pembangkang bersetuju dengan titah diraja yang mengingatkan wakil rakyat supaya tidak menggunakan Parlimen untuk kepentingan politik individu.

Selaku Ketua Whip, beliau telah memberi nasihat keras kepada semua wakil rakyat PKR supaya bersiap sedia dengan hujah yang komprehensif dan fakta yang jelas selain membawa isu-isu yang dekat dengan rakyat.

"Saya gembira Tuanku memberi penekanan kepada perkara ini kerana saya berpendapat Ahli Parlimen tidak perlu mengikut emosi dalam membahaskan usul kelak," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu menunjukkan bahawa pakatan rakyat tidak memaksa ahli-ahlinya untuk mengundi sesiapa sebaliknya mereka mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian.

Sayalah undi Wan Junaidi - Ibrahim Ali

Utusan Malaysia (30/4/08): Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali terus berteka-teki berhubung desas- desus mengatakan beliau ialah orangnya yang tidak mengundi calon pembangkang untuk jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, semalam.

Satu-satunya wakil rakyat Bebas yang menduduki kerusi Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 itu menjadi 'buruan' media selepas beliau dikatakan menjadi punca Dr. Tan Seng Giaw (DAPKepong) kehilangan satu undi dengan hanya mendapat sokongan 81 daripada 82 orang ahli Parlimen pembangkang.

"Mana nak tahu itu saya, undi itu sulit. Dalam Malaysia ini, apa berlaku semua tangan hala kepada saya, selalunya macam itu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat setelah masing-masing memperoleh 157 dan 140 undi berbanding Seng Giaw hanya 81 undi.

Dalam pengundian secara sulit itu, setiap wakil rakyat akan menulis calon pilihan mereka di atas kertas yang disediakan sebelum dikumpulkan oleh petugas Parlimen untuk pengiraan.

"Yang tentu saya undi ialah Dr. Wan Junaidi dan satu lagi saya tidak boleh sahkan," ujar Ibrahim.

Sementara itu, beliau berkata, tumpuannya ketika berucap di Parlimen ialah untuk membela golongan miskin di negara ini.

222 ahli Parlimen angkat sumpah

Utusan Malaysia (28/4/08): Acara mengangkat sumpah 222 ahli Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat hari ini berjalan lancar dengan didahului oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, 53, mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Pelantikan Pandikar Amin sebagai Yang Dipertua dibuat mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dicadangkan oleh Perdana Menteri yang hanya mengemukakan satu nama bagi jawatan itu kepada Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah melalui surat bertarikh 10 April 2008.

Pelantikan itu kemudian disokong oleh Najib.

Sebelum majlis itu bermula, Pandikar Amin dipakaikan songkok dan jubah Speaker oleh Roosme dan pembantunya.

Pandikar Amin yang berkelulusan undang-undang sebelum ini pernah dilantik sebagai Senator dan juga merupakan Presiden Parti Angkatan Keadilan Rakyat (Akar Bersatu) yang kini sudah dibubarkan.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah turut hadir menyaksikan majlis tersebut.

Selain media tempatan, wartawan dari agensi berita luar turut memenuhi lobi Parlimen bagi menyaksikan majlis tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh kemudian mencelah dan mempersoalkan tindakan seorang Ahli Parlimen BN yang tidak mengangkat tangan semasa upacara mengangkat sumpah anggota di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen yang dimaksudkan oleh Karpal ialah Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad (BN-Mersing) yang juga Timbalan Menteri Kesihatan.

Karpal kemudian meminta izin Pandikar Amin untuk mengangkat tangan kiri memandang tangan kanan beliau kurang kuat semenjak mengalami kemalangan jalan raya pada 2005 yang menyebabkan Pengerusi DAP itu terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Sebaik sahaja proses mengangkat sumpah selesai, Pandikar Amin kemudian mengumumkan bahawa pemilihan dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan diadakan.

Perdana Menteri kemudian bangun dan mencalonkan Ahli Parlimen BN dari Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen BN Beluran, Datuk Ronald Kiandee.

Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang bangun dan mencalonkan Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw sebagai calon pakatan pembangkang untuk bertanding jawatan tersebut.

Selepas selesai proses penamaan calon daripada kedua-dua pihak, Pandikar Amin kemudian memberitahu bahawa pemilihan akan dilakukan secara undi bersurat.

Wan Junaidi mendapat 157 undi, Ronald memperoleh sebanyak 140 undi manakala Seng Giaw pula mendapat 81 undi.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, wakil rakyat yang tidak mengangkat tangan semasa upacara mengangkat sumpah tidak akan menjejaskan kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen.

Katanya, Ahli Parlimen berkenaan mungkin terlupa berbuat demikian semasa upacara berkenaan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

"Kalau peraturan kata angkat, angkat sahajalah. Mungkin dia terlupa sebab orang ramai tengok. Takkan nak gantung dia pulak. Tak ada apa-apa kesan dan takkan jejas kedudukan (Datuk Abdul) Latiff (Ahmad) sebagai Ahli Parlimen," katanya.

Pandikar Amin semasa itu mengingatkan kepada Ahli Parlimen sekiranya boleh mereka diminta mengangkat tangan semasa mengangkat sumpah.

"Kalau boleh tolong angkat tangan, mungkin dia sakit tangan," kata Pandikar Amin.

Mengulas perkara yang sama, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang juga Ahli Parlimen BN Semporna berkata, perkara itu tidak menunjukkan Ahli Parlimen tersebut tidak menghormati Dewan kerana beliau mungkin terlupa mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, seelok-eloknya beliau mengangkat tangan ketika mengangkat sumpah kerana ia sudah menjadi amalan.

Pada perkembangan yang lain pula, Datuk Abdul Gaphur Salleh (BN-Kalabakan) mempersoalkan kepada Speaker terhadap pakaian Datuk Ibrahim Ali (Pas-Pasir Mas) kerana tidak memakai sut gelap seperti yang ditetapkan oleh peraturan Dewan.

Abdul Gaphur membuat teguran itu sebelum Ibrahim mengangkat sumpah kerana beliau (Ibrahim) mengenakan kot dan seluar berwarna coklat cerah berbanding warna gelap seperti sepatutnya.

"Saya difahamkan beliau ahli bebas bertanding pada pilihan raya umum, tumpang logo lain. Kali ini dilonggarkan peruntukan mesyuarat sebab beliau wakil bebas," kata Pandikar Amin diikuti dengan sorakan dan tepukan barisan pembangkang.

Semasa mengangkat sumpah, Ibrahim sempat mencelah dan berkata: "Terima kasih Tuan Speaker. Tuan Speaker memang bijaksana," katanya.

Timbalan Speaker: 17 anggota pembangkang sokong Wan Junaidi

Utusan Malaysia (29/4/08): Persidangan pertama Parlimen ke-12 mencatat perkembangan menarik apabila dua anggota Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan seorang daripadanya turut mendapat sokongan daripada 17 anggota pembangkang.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee masing-masing memperoleh 157 dan 140 undi dalam pengundian yang diadakan hari ini.

Mereka mengetepikan cabaran daripada anggota pembangkang, Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang hanya mendapat 81 undi.

Dengan komposisi Dewan Rakyat yang terdiri daripada 140 Ahli Parlimen BN dan 82 anggota pembangkang, kejayaan Wan Junaidi memperoleh 157 undi menunjukkan pencalonannya turut disokong oleh 17 wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun, identiti kumpulan Ahli Parlimen pembangkang itu tidak diketahui kerana pengundian dibuat secara sulit.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika diminta mengulas kemenangan Wan Junaidi – yang turut dicapai hasil daripada sokongan Ahli Parlimen pembangkang – menerima keputusan tersebut secara positif.

“Semua anggota pembangkang mengundi Seng Giaw kecuali seorang. Pembangkang sudah beri sokongan padu kepada calon kita, tetapi (Wan Junaidi dan Ronald) menang... kita terimalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Daripada 82 anggota Parlimen pembangkang, 31 ialah wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP (28) dan Pas (22), manakala Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali merupakan wakil rakyat Bebas yang bertanding atas tiket Pas.

Proses pengundian bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dijalankan secara sulit iaitu dengan kesemua 222 wakil rakyat menulis nama dua calon pilihan mereka di atas kertas sebelum dikumpulkan oleh petugas Parlimen untuk pengiraan.

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat diadakan sebaik sahaja 222 anggota Parlimen selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada pukul 12.30 tengah hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan dua nama iaitu Wan Junaidi dan Ronald sebagai calon BN yang bertanding bagi merebut dua jawatan yang dipertandingkan itu sebelum disokong oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pula mencadangkan nama Seng Giaw sebagai calon daripada pakatan pembangkang yang kemudian disokong oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Keputusan pemilihan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat pada pukul 12.50 tengah hari dan disambut dengan tepukan gemuruh anggota Dewan.

Wan Junaidi, Ahli Parlimen Santubong selama lima penggal, ketika mengulas kemenangannya berkata, rakan-rakan daripada anggota pembangkang telah menyatakan sokongan kepada beliau sebaik sahaja mengetahui namanya dicalonkan untuk jawatan itu.

“Mereka menyokong saya setelah mendapat tahu kemampuan, pengalaman dan latar belakang saya dalam bidang undang-undang,” katanya.

YB bertikam lidah isu kedaulatan hak Melayu

Berita Harian (16/5/08): Persidangan Dewan Rakyat semalam dicemari pertikaman lidah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang ketika Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal menggulung perbahasan sehingga memaksa Timbalan Yang Dipertua, Datuk Ronald Kiandee menangguhkan persidangan kepada Selasa ini.

Kekecohan bermula apabila N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) mempertikaikan kenyataan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang tidak mahu ada orang bukan Melayu mempertikaikan pendirian orang Melayu mempertahankan hak mereka.

Tindakan Gobalakrishnan mencelah ketika Tajuddin membuat penegasan mengenai hak orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan menyebabkan Tajuddin mengarahkan Gobalakrishnan duduk selain mendakwa berlagak macam menteri.

Pertikaman lidah antara mereka yang berlarutan menyebabkan Ronald sendiri keliru antara kedua-dua mereka ketika mengarahkan mereka duduk dan memberi peluang kepada Mohd Shafie meneruskan penggulungannya.

Zulkifli Nordin (PKR-Kulim Bandar Baru) bangun dan meminta dewan mengarahkan Tajuddin menarik balik kata-katanya yang menuduh Gobalakrishnan seperti 'minum todi'.

Tindakan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mencelah menyebabkan Zulkifli mengeluarkan kata-kata `duduk menantu' sehingga mencetuskan ketegangan dan jerit menjerit antara wakil kerajaan dan pembangkang.

Ronald kemudiannya mengarahkan Tajuddin menarik balik tuduhannya, tetapi Tajuddin mendakwa kata-katanya itu tidak ditujukan kepada sesiapa sebaliknya dibuat secara umum.

"Kalau ambil tindakan, ramai yang kena keluar dewan, kita seboleh-bolehnya elak perkara itu berlaku," kata Ronald ketika cuba mendamaikan suasana.

Perbalahan itu juga mencetuskan semula isu kenyataan biadap Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) apabila Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) mengeluarkan kenyataan ada kalangan ahli parti pembangkang yang kecewa dengan pemimpin mereka hingga berminat lompat parti.

"Tunggulah dua nak menyeberang," katanya sehingga mendapat perhatian Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) yang secara sinis mendakwa tidak munasabah melompat atas kapal yang hendak tenggelam.

Pertikaman lidah turut membabitkan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) yang marah apabila Gobalakrishnan mempertikaikan sejarah kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004.

"Kita tidak besar kepala walaupun menang besar," kata Ibrahim.

Terdahulu sebelum perbalahan tercetus, Mohd Shafie berkata perpaduan rakyat tidak hanya tertumpu di kawasan atau negeri tertentu saja, sebaliknya membabitkan semua pihak.

'Rakyat Sabah bukan warga kelas kedua'

Abdul Ghapur tak mahu Pusat lengahkan projek pembangunan

Berita Harian (13/5/08): Kepemimpinan Barisan Nasional (BN) diminta tidak terus mengetepikan rakyat Sabah dalam arus pembangunan negara jika mahu mengelakkan tsunami politik melanda negeri itu seperti di Semenanjung pada pilihan raya umum lalu.

Ahli Parlimen Kalabalakan, Datuk Abdul Ghapur Salleh dalam nada tegas, berkata pembangunan Sabah harus disegerakan, manakala royalti minyak dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus atau RM2 bilion supaya pembangunan dapat dilakukan segera.

"Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia tetapi dianggap seperti rakyat kelas kedua. Sudah lama kita menunggu pembangunan tetapi sampai sekarang tidak kunjung tiba.

"Jawapan yang sering diberikan apabila kita minta peruntukkan ialah wang sudah tiada. Rakyat Sabah beri BN kuasa, jangan sampai mereka melucutkan kuasa itu daripada kita," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau juga sekali lagi mengingatkan kerajaan pusat Sabah sudah banyak berjasa termasuk menjadi tonggak kemenangan BN untuk terus mengekalkan kuasa dan wajar jika segala tuntutan pembangunan di negeri itu dipandang serius.

Abdul Ghapur yang menolak menjadi Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar juga menggesa rombakan Kabinet dilakukan segera bagi memberi peluang kepada lebih banyak wakil rakyat Sabah memegang jawatan dalam kerajaan.

"Kita ada tiga menteri di Kabinet tetapi yang jaga muzium...semuanya bukan kementerian penting sedangkan Sabah dan Sarawak mewakili 58 kerusi yang dimenangi BN.

"Walaupun saya minta ambil tindakan serius, tidak bermakna membayangkan nak lompat parti. Tak pernah... kita tidak masuk pembangkang tapi kalau buat parti baru, kita join (sertai) sini (menunjukkan kepada pembangkang), ini kemungkinan.

"Kalau tsunami politik sampai ke Sabah, dengan saya-saya sekali tenggelam jika kerajaan pusat tidak mengambil tindakan," katanya yang berharap segala yang diperkatakannya itu tidak disalah tafsir sebagai mewakili pembangkang, sebaliknya dianggap sebagai teguran membina.

Beliau juga menegaskan wakil rakyat BN Sabah tidak akan melompat parti, tetapi tidak menolak kemungkinan akan wujud parti baru di negeri itu jika tuntutan rakyat Sabah tidak dihiraukan pemimpin negara dengan segera.

"Sabah dan Sarawak selamatkan BN tetapi ada negeri dapat sampai tujuh menteri, malah ada negeri yang kalah dapat empat menteri penting. Jadi, kita minta Perdana Menteri rombak Kabinet, bagi balik jawatan menteri penting kepada Sabah.

"Saya dan Datuk Anifah Aman (BN-Kimanis) tak berani terima jawatan timbalan menteri kerana ini penghinaan...orang Sabah marah," katanya.

Beliau berkata antara isu yang belum diselesaikan adalah pendidikan dan menggesa Kementerian Pelajaran turun padang menyaksikan sendiri kedaifan sekolah di negeri itu sehingga ada pelajar yang terpaksa meniarap di lantai berlapikkan surat khabar berikutan ketiadaan kerusi dan meja.

"Sebagai contoh, makanan berzat di sekolah, ada yang diberikan mi segera Ini budak sekolah tetapi di beri makanan tidak berzat macam kucing di rumah," katanya.

Perbahasan sulung Khairy diganggu

Berita Harian (13/5/08): Perbahasan sulung Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) di Dewan Rakyat semalam diganggu oleh wakil rakyat pembangkang sehingga kadang-kala menenggelamkan suaranya berikutan keengganannya memberi laluan kepada pembangkang meminta penjelasan.

Kesungguhannya untuk menghabiskan perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong ternyata kurang disenangi pembangkang, terutama apabila menyentuh mengenai Pakatan Rakyat.

Dewan mula gamat apabila Khairy menyentuh mengenai persediaan kerajaan menghadapi kekurangan bekalan dan kenaikan harga makanan memandangkan hanya daging ayam dan babi saja melepasi 100 peratus tahap sara diri negara.

Beliau mengkritik ketegasan kerajaan negeri Selangor meneruskan penternakan babi yang lantas dibantah Ahli Parlimen pembangkang. Bagaimanapun, keengganan Khairy memberi laluan meningkatkan kemarahan wakil rakyat pembangkang yang terus mengherdik dan mencelah perbahasannya tanpa menghiraukan arahan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Dr Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor), Khalid Abd Samad (Pas-Shah Alam), Mohd Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap), N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) dan Zulkifli bin Noordin (PKR-Kulim/Bandar Baru) beberapa kali bangun untuk mencelah tetapi tidak diberikan laluan.

Zulkifli yang ternyata kecewa selepas beberapa kali bangun berkata: "Kalau macam ini bukan berbahas. Lagi baik pasang kaset saja. Tahu tanya soalan...tak berani dengar jawapan."

Mahfuz Omar (Pas-Pokok Sena) pula menyifatkan perbahasan Khairy hanya layak didengar pelajar Tadika Kemas kerana tidak langsung memberi ruang untuk mendapatkan penjelasan.

Dalam kekalutan itu, Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) merujuk Peraturan Mesyuarat 36(4) bagi menegur perbuatan menggunakan singkatan atau ungkapan berunsur menghina. Wakil BN, termasuk Datuk Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Datuk Yusoff Mahal (Labuan), Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) dan Datuk Ismail Kasim (Arau) tidak ketinggalan menyokong Khairy, sekali gus meriuhkan dewan.

Sejurus selepas itu, Khairy menyindir Pakatan Rakyat atau PR sebagai pakatan public relations yang tiada persefahaman di kalangan Pas, DAP dan PKR tetapi berangan mahu menguasai kerajaan dengan mengumpan anggota BN untuk melompat parti.

Katanya, negara berlandaskan Pakatan Rakyat akan berpecah mengikut cita rasa individu seperti zaman penjajah yang mentadbir secara pecah dan perintah.

"Negara Islam di Kedah dan Kelantan... Malaysian Malaysia di Pulau Pinang... kerajaan boneka Perak serta projek babi di Selangor. Mereka ini tidur satu katil, satu tilam, satu bantal tetapi mimpi lain-lain. Pakatan pembangkang bagaikan gabungan yang cantik di mata rakyat, nampak menarik dan nampak kukuh tetapi pada hakikatnya tiada persefahaman asas," katanya.

Karpal Singh ungkit tindakan Rosol, 22 YB

Berita Harian (13/5/08): Tindakan ahli Parlimen pembangkang terus membahaskan isu mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agung dan Raja-Raja Melayu, terutama pindaan Perlembagaan pada 1987 bagi mengehadkan kuasa Raja ditegur Timbalan Speaker, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) masih berkeras dengan pendiriannya Sultan tidak mempunyai hak campur tangan keputusan yang dibuat pentadbiran kerajaan negeri dan tegas beliau berhak mempersoalkannya.

Beliau yang kini disiasat polis berikutan kenyataannya terhadap tindakan Sultan Perak berhubung isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry Sury, menegaskan beliau tidak mencabar kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua Agama dan Adat Istiadat Melayu.

"Apa yang saya suarakan adalah Sultan Perak tidak ada hak mengarahkan Menteri Besar Perak menarik balik arahan pertukaran terhadap Jamry. Selain itu, saya hanya mahu tahu siapa sediakan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tidak menerima apa-apa jawapan, sebaliknya beberapa pertuduhan dilemparkan kepada saya, termasuk mengatakan saya derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Tindakan Karpal dibantah Razali Ibrahim (BN-Muar) yang merujuk Peraturan Mesyuarat 36(7) dan (8) kerana isu yang dibangkitkan perlu dibahaskan sebagai usul berasingan, lebih-lebih lagi kerana ada laporan polis dibuat terhadap beliau.

Timbalan Speaker menegur Karpal supaya mematuhi Peraturan Mesyuarat dan jangan membangkitkan isu berkaitan sifat Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Karpal berkata setakat ini sudah ada 20 laporan polis dibuat terhadapnya dan beliau tidak risau walaupun 2,000 laporan dibuat kerana berpendapat tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Antara yang buat laporan termasuk Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Apa kredibiliti beliau untuk buat laporan polis, namanya sendiri baru-baru ini terbabit dalam skandal klip video V K Lingam.

"Kalau perbuatan saya salah, kenapa tiada tindakan terhadap Datuk Rosol Wahid dan 22 Ahli Dewan Undangan Negeri di Terengganu yang membantah tindakan Sultan Terengganu kerana enggan memberi perkenan melantik Menteri Besar pilihan Barisan Nasional (BN).

"Begitu juga di Perlis. Kenapa ada pilih kasih. Umno yang mulakan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agung dan Raja-Raja Melayu," katanya.

Karpal pertikai kuasa Sultan Perak

Berita Harian (6/5/08): Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam mempertikaikan kuasa Sultan dan campur tangan istana dalam pentadbiran kerajaan negeri, termasuk dalam kes pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury.

Beliau mendakwa Sultan Perak tidak mempunyai hak dalam undang-undang untuk campur tangan dalam keputusan Kerajaan Negeri Perak yang menukar Jamry sebagai Pengarah Jaip baru-baru ini.

"Dalam satu kes di Mahkamah Persekutuan pada 1982, jelas menunjukkan kerajaan negeri berhak menukar kakitangan awam termasuk di peringkat Pusat pada bila-bila masa dan ke mana saja. Sultan Perak pernah menjadi Ketua Hakim dan tidak sedar kes ini.

"Menteri Besar Perak sudah meminta maaf kepada sultan. Kerajaan Perak tidak sepatutnya dipengaruhi istana...begitu juga dengan perkara pelantikan Menteri Besar Terengganu dan Menteri Besar Perlis yang mana istana campur tangan.

"Istana kena faham jangan melampaui batas dan had kuasa. Sultan adalah ketua negeri masing-masing. Malaysia adalah negara tunggal yang ada sembilan sultan, jumlah terbesar di dunia. Kerajaan Pusat patut memastikan sultan dilarang daripada campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga Menteri Besar Perak melantik semula Jamry.

"Kita tak hidup dalam zaman feudal lagi. Sultan termasuk Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai penasihat eksekutif mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen.

Karpal mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan supaya Anugerah Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk kepada Exco Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham ditarik balik.

Beliau berkata, arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang dan Jamry sepatutnya ditukar seperti keputusan awal yang dibuat oleh kerajaan negeri.

Katanya, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tidak perlu meminta maaf kerana tiada salahnya keputusan beliau menukar Jamry.

"Sultan adalah ketua agama Islam tetapi pelantikan kakitangan awam adalah kuasa kerajaan negeri, digaji oleh kerajaan negeri dan sebagai kakitangan kerajaan, mereka boleh boleh ditukar tanpa memberi sebarang alasan. Kalau dipecat, kena beri hak untuk beri penjelasan.

"Pertukaran adalah kuasa kerajaan negeri. Menteri Besar Perak membuat keputusan salah kerana menarik balik keputusan pertukaran Jamry," katanya.

Sementara itu, Ngeh mencabar Zahid untuk membuktikan keikhlasannya sebagai ahli politik kerana pemimpin itu pernah menyokong bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemudian mengubah haluan dengan menyokong mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menafikan dirinya mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan negeri akan mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada beberapa pegawai kanan jabatan dan agensi kerajaan negeri yang didakwa cuba mensabotaj dasar kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat.

DAP mahu pemimpin celupar mohon maaf

Berita Harian (30/4/08): DAP mahu semua pemimpin yang melakukan perbuatan tertentu atau menuturkan kata-kata sehingga menyinggung perasaan orang ramai supaya tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat.

Ahli Parlimen Puchong mewakili DAP, Gobind Singh Deo, berkata mereka harus mengambil iktibar dan mencontohi permohonan maaf Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung tindakannya menghunus keris tiga tahun lalu.

"Ini boleh menjadi titik permulaan kepada kita semua untuk saling memahami dan lebih bertanggungjawab menjaga peradaban," katanya katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Majlis Parlimen Malaysia ke-12, di sini semalam.

Malah Gobind berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyamakan penyokong Umno dengan 'orang utan' tidak lama dulu, juga perlu meminta maaf jika kata-katanya itu menyinggung perasaan kumpulan tertentu.

Gobind berpendapat, permohonan maaf seperti yang dilakukan Hishammuddin kerana menghunus dan mencium keris Panca Warisan pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2005, dapat menutup episod yang berlarutan hampir tiga tahun itu.

Beliau juga meminta Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin memohon maaf kerana mengecam kumpulan penyokong Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang menyertai tunjuk perasaan 25 November lalu sebagai 'beruk'.

Sementara itu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam kembali ke Parlimen selepas 10 tahun untuk mengiringi isterinya yang juga Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengakui berasa selesa berada di bangunan yang suatu ketika dulu sering dikunjunginya ketika menghadiri majlis rasmi negara dan persidangan Dewan Rakyat.

Malah, beliau tidak menafikan kehadirannya kali ini sebagai pasangan kepada Ahli Parlimen, dan bukannya berada di kerusi wakil rakyat seperti sebelum ini membuatkan dirinya berasa rendah diri.

"Dah 10 tahun tak datang, keseluruhannya Parlimen kini dilihat lebih baik, tetapi tradisi dan suasananya tetap sama. Ini adalah satu permulaan, dan rasanya tepat pada masanya untuk saya kembali dan berada di sini," katanya, semalam.

Anwar ditemui selepas majlis santapan bersama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah selepas istiadat perasmian penggal pertama Parlimen ke-12 di Dewan Rakyat, semalam.

Ditanya reaksi jemaah menteri dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dengan kehadirannya, Anwar menjawab: "Ada yang mesra seperti biasa, tetapi ada juga yang bercakap dengan nada sinis, tetapi keseluruhannya rakan Kabinet berbudi bahasa."

Beliau turut menyatakan rasa bangga dengan isterinya kerana dipilih sebagai ketua pembangkang dan berharap Dr Wan Azizah dapat melaksanakan tugas dengan menyampaikan pandangan secara menyeluruh untuk kepentingan rakyat.

Mengenai sesi perbahasan Dewan Rakyat pula, Anwar berpendapat keadaannya tentu berbeza kali ini terutama dengan kehadiran 82 Ahli Parlimen pembangkang yang akan menyuarakan pandangan mengenai proses demokrasi, Parlimen dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Calon DAP tak dapat sokongan

Pembangkang turut pilih Wan Junaidi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

Berita Harian (29/4/08): Pembangkang menerima kejutan awal pada sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam apabila Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw, yang dicalonkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, tidak mendapat sokongan penuh Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar (Santubong) bukan saja mendapat sokongan 100 peratus penyokong BN, malah turut disokong 17 wakil rakyat pembangkang yang membolehkannya meraih undian tertinggi dalam pemilihan jawatan berkenaan.

Dr Wan Junaidi memperoleh 157 undi dan seorang lagi wakil BN, Datuk Ronald Kiandee (Beluran) mendapat 140 undi, manakala Dr Tan hanya menerima 81 undi. Ini bermakna, Dr Wan Junaidi dan Ronald dipilih sebagai dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum lalu, BN menang 140 kerusi Parlimen manakala pembangkang 82 kerusi iaitu 31 daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), 28 DAP dan 23 Pas termasuk yang dimenangi oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Dengan keputusan pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua itu, timbul teka-teki siapakah di kalangan pembangkang yang tidak mengundi Dr Tan.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali, ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu, berkata pembangkang mempunyai satu wakil Bebas (Ibrahim).

Ibrahim bagaimanapun berkata, undinya rahsia dan terpulang kepada sesiapapun untuk bercakap apa yang mereka mahu.

"Saya adalah lelaki yang mempunyai integriti," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dibuat melalui undi sulit selepas tiga nama dicalonkan. Setiap ahli Dewan dibenarkan mengundi dua nama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mencalonkan Wan Junaidi dan Ronald, manakala Penasihat DAP, Lim Kit Siang (Ipoh Timur) mencalonkan Dr Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong.

Sebelum itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, 53, mengangkat sumpah dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat kelapan.

Pelantikan Pandikar Amin dicadangkan oleh Abdullah mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan. Hanya satu nama dikemukakan bagi jawatan berkenaan kepada Setiausaha Dewan, Rosmee Hamzah, melalui surat bertarikh 10 April lalu.

Cadangan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sebelum mengangkat sumpah, Pandikar Amin yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dipakaikan songkok dan jubah oleh Rosmee dan pembantunya.

Pada mesyuarat pertama penggal pertama sidang Parlimen ke-12 itu, semua 222 Ahli Parlimen turut mengangkat sumpah jawatan, diketuai Abdullah.

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu hitam, kemudian menandatangani ikrar sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, diikuti Najib, Menteri Kabinet, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen BN lain.

Wakil pembangkang pula diketuai oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail (Permatang Pauh). Majlis angkat sumpah selama lebih dua jam itu diakhiri dengan Ibrahim.

Sementara itu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mempersoalkan kesahihan ikrar beberapa Ahli Parlimen yang tidak mengangkat tangan kanan ketika membaca ikrar sumpah. Berikutan itu, Pandikar Amin meminta semua Ahli Parlimen mengangkat tangan kanan ketika membaca ikrar.

"Yang tidak angkat tangan, mana tahu mungkin tangannya sakit," kata Pandikar Amin secara berseloroh.

Karpal ketika tiba gilirannya mengangkat sumpah memberitahu Dewan, beliau tidak boleh mengangkat tangan kanan kerana sakit. Berikutan itu, beliau mengangkat sumpah dengan mengangkat tangan kirinya.

"Untuk mengelak apa-apa bantahan, saya terpaksa angkat sumpah dengan tangan kiri kerana tangan kanan saya tidak berapa sihat," kata Karpal.

Semua Ahli Parlimen kemudian bergambar beramai-ramai bersama Abdullah di tingkat bawah bangunan Parlimen, diikuti jamuan tengah hari.

Majlis pembukaan persidangan penggal pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara dirasmikan serentak hari ini oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dewan Rakyat akan bersidang selama 16 hari sehingga 27 Mei ini.

Pandikar Amin Mulia dimasyhur sebagai speaker, Abdullah dahului majlis angkat sumpah

Berita Harian (28/4/08): Persidangan penggal pertama Parlimen ke-12 bermula hari ini dengan acara mengangkat sumpah anggota-anggota Dewan Rakyat, didahului oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum itu, tokoh politik veteran dari Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengangkat sumpah dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pelantikan Pandikar Amin, 53, sebagai Speaker mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan dicadangkan oleh Abdullah, yang hanya mengemukakan satu nama bagi jawatan berkenaan kepada Setiausaha Dewan Rosmee Hamzah, melalui surat bertarikh 10 April 2008.

Pelantikan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Sebelum mengangkat sumpah, Pandikar Amin dipakaikan songkok dan jubah Speaker oleh Rosmee dan pembantunya.

Pandikar Amin adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri pernah dilantik sebagai Senator dan menjadi Presiden Angkatan Keadilan Rakyat (Akar Bersatu) yang kini sudah dibubarkan.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee masing-masing kemudian dipilih sebagai timbalan speaker melalui undi bersurat selepas tiga nama dicalonkan untuk jawatan itu.

Wan Junaidi dan Ronald dicalonkan oleh Perdana Menteri manakala penasihat DAP, Lim Kit Siang (Ipoh Timur) mencalonkan wakil Kepong Dr Tan Seng Giaw.

Wan Junaidi mendapat 157 undi, Ronald memperoleh 140 undi manakala Dr Tan mendapat 81 undi.

Dewan kemudian ditangguhkan untuk istiadat pembukaan yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin esok.

Mesyuarat penggal kali ini akan bersidang selama 16 hari sehingga 27 Mei.

Pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac lalu menyaksikan Barisan Nasional memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan apabila memenangi 140 kerusi manakala pembangkang mendapat 82 kerusi iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebanyak 31 kerusi, DAP (28) dan Pas (23).

Buat pertama kali, sesi soal jawab akan disiarkan secara langsung selama 30 minit melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) bermula Rabu ini.

Taqwim Parlimen ke 12

Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen Ke 12
1. Dewan Rakyat pada 24 September hingga 27 November 2012. (Tambahan 2 hari - 28 - 29 Nov 2012)
2. Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2013 (Bajet 2013) pada 28 September 2012.
3. Dewan Negara pada 3 Disember hingga 20 Disember 2012.

Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke 12
1. Dewan Rakyat pada 11 Jun hingga 28 Jun 2012
2. Dewan Negara pada 9 Julai hingga 17 Julai 2012

Mesyuarat Pertama Penggal ke 5 Parlimen ke 12
1. Mesyuarat Dewan Rakyat pada 12 Mac hinga 12 April 2012.
2. Perasmian Pembukaan Penggal Kelima oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 12 Mac 2012.
3. Mesyuarat Dewan Negara pada 23 April hingga 10 Mei 2012.

Mesyuarat Lalu
1. Mesyuarat Ketiga Penggal Ke 4 Parlimen Ke 12
1.1. Dewan Rakyat pada 3 Oktober hingga 1 Disember 2011. (33 hari)
1.2. Pembentangan Bajet oleh Perdana Menteri/ Menteri Kewangan pada 7 Oktober 2011 (Jumaat) jam 4.00 petang.
(Nota: Cuti Hari Raya Korban pada 7 Nov 2011 -Isnin)
1.3. Dewan Negara pada 7 Dis hingga 22 Dis 2011 (10 hari)

2. Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke 12
2.1. Dewan Rakyat pada 13 Jun hingga 30 Jun 2011 (12 hari)
2.2. Dewan Negara pada 4 Julai hingga12 Julai 2011 (6 hari)

3. Mesyuarat Pertama, Penggal Ke Empat Dewan Rakyat ke 12 pada 7 Mac hingga 7 April 2011.

3.1. Perasmian oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 7 Mac 2011 jam 10.00 pagi.
3.3. Mesyuarat Dewan Negara pada 18 April hingga 28 April 2011.

Takwim Dewan Rakyat 3 Okt - 1 Dis 2011

Penyata Dewan Rakyat 3 Oktober hingga 1 Disember 2011

1 Nov 2011 2 Nov 2011 3 Nov 2011
8 Nov 2011 9 Nov 2011 10 Nov 2011
14 Nov 2011 15 Nov 2011 16 Nov 2011
17 Nov 2011

Rang Undang-Undang (Bacaan Kali Kedua) telah DILULUSKAN

Perbahasan Dewan Rakyat 15 Mac hingga 22 April 2010
1. (D.R. 7/2010) Rang Undang-undang Persaingan 2010 – Menyambung semula perbahasan atas masalah “Bahawa Rang Undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang.” (20 April, 2010)
2. (D.R. 6/2010) Rang Undang-undang Suruhanjaya Persaingan 2010. (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan)
3. (D.R. 8/2010) Rang Undang-undang Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010(Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
4. (D.R. 12/2010) Rang Undang-undang Pengangkutan Awam Darat 2010 (Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
5. (D.R. 11/2010) Rang Undang-undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2010(Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
6. (D.R. 10/2010) Rang Undang-undang Pelesenan Kenderaan Pelancongan (Pindaan) 2010 (Menteri Pelancongan)
7. (D.R. 9/2010) Rang Undang-undang Keretapi (Pindaan) 2010 (Menteri Pengangkutan)
8. (D.R. 17/2010) Rang Undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2010
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri)
9. (D.R. 13/2010) Rang Undang-undang Jualan Langsung (Pindaan) 2010 (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan)
10. (D.R. 14/2010) Rang Undang-undang Setem (Pindaan) 2010. (Menteri Kewangan)

Perbahasan Rang Undang-Undang pada Mesyuarat Dewan Rakyat Ketiga, Penggal Kedua Parlimen ke 12 pada 19 Oktober hingga 17 Disember 2009
19. D.R.34/2009 Rang Undang-Undang Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2009 - 16 Disember 2009
18. D.R.14/2009 Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2009
17. D.R.28/2009 Rang Undang-Undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2009
16. D.R.23/2009 Rang Undang-Undang Perkongsian Terhad dan Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan 2009
15. D.R.26/2009 Rang Undang-Undang Yayasan Labuan 2009
14. D.R.27/2009 Rang Undang-Undang Amanah Luar Pesisir Labuan (Pindaan) 2009
13. D.R.29/2009 Rang Undang-Undang Syarikat Luar Pesisir (Pindaan) 2009.
12. D.R.31/2009 Rang Undang-Undang Perkhidmatan Kewangan dan Sekuriti Islam Labuan 2009
11. D.R.30/2009 Rang Undang-Undang Perkhidmatan Kewangan Dan Sekuriti Labuan 2009
10. D.R.25/2009 Rang Undang-Undang Cukai Aktiviti Perniagaan Luar Pesisir Labuan (Pindaan) 2009
9. D.R.24/2009 Rang Undang-Undang Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (Pindaan) 2009
8. D.R.33/2009 Rang Undang-Undang Kewangan (No. 2) 2009 [ 14 Disember 2009 ]
7. DR 32/2009 Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 [ 23 Oktober,
6 Oktober hingga 14 Disember 2009 ]
6. Rang Undang-undang Jawatankuasa Etika Hakim 2008. [ 22 Oktober 2009 ditangguhkan sehingga 14 Disember 2009 ]
5. Rang Undang-undang Panglima Gagah Berani (Elaun Kenangan) (Pindaan) 2009. [ 21 – 22 Oktober 2009 ]
4. Rang Undang-undang Seri Pahlawan Gagah Perkasa (Elaun Kenangan) (Pindaan) 2009. [ 21 Oktober 2009 ]
3. Rang Undang-undang Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Peruntukan Khas) (Pindaan) 2008 [ 20 - 21 Oktober 2009 ]
2. (D.R.13/2009) Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Pindaan) 2009 [ 19 - 20 Oktober 2009 ]
1. (D.R. 12/2009) Rang Undang-undang Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Pindaan) 2009. (Kementerian Kewangan) [ 19 Oktober 2009 ]

USUL-USUL MP PAS

Usul-usul yang dikemukakan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Rakyat ke 12 (19 Oktober hingga 15 Disember 2009)

68. Dato' Haji Mahfuz bin Omar [ Pokok Sena ] akan mencadangkan:-
"Bahawa Dewan ini mendesak Kerajaan menghentikan siasatan kebocoran kertas Kabinet berkaitan isu PKFZ dan mengisytiharkan dokumen tersebut bukan lagi di bawah OSA memandangkan isi dokumen tersebut bukannya mengandungi isu keselamatan dan pertahanan negara sebaliknya ia menyentuh isu penyalahgunaan kuasa-kuasa Kabinet yang menyebabkan berlakunya skandal PKFZ. Jika Kerajaan mengamalkan prinsip integriti yang tinggi, rakyat sewajarnya diberi peluang untuk mengetahui dan memiliki secara bebas dokumen tersebut”. (Menteri Dalam Negeri )

69. Dato' Haji Mahfuz bin Omar [ Pokok Sena ] akan mencadangkan:-
"Bahawa dewan ini mewakili rakyat Malaysia merakamkan kekesalan yang amat sangat atas keengganan Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat skandal PKFZ sebaliknya Kerajaan dilihat cuba untuk menutup skandal ini dan melindungi pemimpin politik UMNO/BN. Sekali lagi Kerajaan dituntut demi kepentingan negara dan rakyat perlu segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang bebas untuk menyiasat secara keseluruhan skandal PKFZ yang merupakan skandal terburuk negara yang menelan wang rakyat bernilai RM12 bilion”. - (Perdana Menteri)

Penyata Dewan Rakyat 7 Mac hingga 7 April 2011

Mesyuarat Pertama Penggal Ke 4, Parlimen Ke 12 pada 7 Mac hingga 7 April 2011

7 Mac 2011 8 Mac 2011 9 Mac 2011 10 Mac 2011
14 Mac 2011 15 Mac 2011 16 Mac 2011 17 Mac 2011
21 Mac 2011 22 Mac 2011 23 Mac 2011 24 Mac 2011
28 Mac 2011 29 Mac 2011 30 Mac 2011 31 Mac 2011

4 Apr 2011 5 Apr 2011 6 Apr 2011 7 Apr 2011

Penyata Dewan Rakyat 11 Oktober hingga 15 Disember 2010

Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga, Dewan Rakyat ke 12 pada 11 Oktober hingga 15 Disember 2010
3 Nov 2010 2 Nov 2010 1 Nov 2010

28 Okt 2010
27 Okt 2010 26 Okt 2010 25 Okt 2010
21 Okt 2010 20 Okt 2010 19 Okt 2010
18 Okt 2010 15 Okt 2010 14 Okt 2010
13 Okt 2010 12 Okt 2010 11 Okt 2010

MP PAS bersama Speaker Dewan Rakyat

MP PAS bersama Speaker Dewan Rakyat
Kunjungan Hormat sebahagian MP PAS keatas Speker Dewan Rakyat pada 5 Mei 2008. Duduk dari kiri: Dato’ Abdul Halim (Pengkalan Chepa), Ustaz Nasharudin Mat Isa (Bachok), Tan Sri Pandikar Amin Mulia (Speaker Dewan Rakyat), Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa), Puan Siti Zailat bt Mohd Yusof (Rantau Panjang), Dr Siti Mariah Mahmood (Kota Raja). Tiada dalam gambar - Dato Seri Abdul Hadi Awang (Marang), Dato' Kamarudin Jaffar (Tumpat), Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai), Mahfuz Omar (Pokok Sena), Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor), Ustaz Taib Azamuddin (Baling) dan Dato Ibrahim Ali (Pasir Mas)

Taqwim Dewan Rakyat Ke 12

1. Penggal Keempat
1.1. Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat pada 13 Jun hingga 28 Jun 2011 (10 hari), tambah dua hari 29-30 Jun 2011
1.2. Mesyuarat Kedua Dewan Negara pada 4 Julai hingga12 Julai 2011 (6 hari)

2. Mesyuarat Pertama, Penggal Ke Empat
2.1. Perasmian oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada 7 Mac 2011 jam 10.00 pagi.
2.2. Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat pada 7 Mac hingga 7 April 2011.
2.3. Mesyuarat Dewan Negara pada 18 April hingga 28 April 2011.

3. Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat
3.1. Dewan Rakyat mulai 3 Oktober hingga 7 Disember 2011
3.2. Pembentangan Bajet pada 7 Oktober 2011 (Jumaat - 4.00 petang)
3.3. Dewan Negara mulai 6 hingga 21 Disember 2011 (10 hari)

Penggal Ketiga
1. Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Dewan Rakyat ke 12 pada 15 Mac hingga 15 April 2010 dan ditambahkan sehingga 22 April 2010.

2. Mesyuarat kedua, Penggal Ketiga Dewan Rakyat ke 12 pada 7 Jun hingga 15 Julai 2010.

3. Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Dewan Rakyat ke 12 pada 11 Oktober hingga 9 Disember 2010

Penggal Kedua
1. Mesyuarat pertama pada 16 Februari hingga 19 Mac 2009 (19 hari) ditambah 3 hari lagi (23 hingga 25 Mac 2009).

2. Mesyuarat kedua pada 15 Jun hingga 30 Jun 2009 (10 hari).

3. Mesyuarat ketiga pada 19 Oktober hingga 15 disember 2009 (35 hari)

Penggal Pertama
1.Mesyuarat Pertama pada 28 April hingga 27 Mei 2008 (16 hari). Maklumat Lengkap

2. Mesyuarat Kedua pada 23 Jun hingga 15 Julai 2008 (14 hari). Maklumat lengkap

3. Mesyuarat Ketiga pada 18 Ogos hingga 11 Disember 2008 (41 hari). Pembentangan Bajet pada 29 Ogos 2008 (Jumaat) jam 4.00 petang. Maklumat lengkap

Waktu Persidangan

Waktu Persidangan ialah dari pukul 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.

Takqwim Dewan Negara ke 12

Penggal Ketiga
1. Mesyuarat pertama pada 15 Mac, 26 April hingga 6 Mei 2010.

2. Mesyuarat Kedua mulai 19 Julai hingga 3 Ogos 2010 (10 Hari)

3. Mesyuarat Ketiga mulai 13 Disember hingga 22 Disember 2010 (7 hari)

Penggal Kedua
1. Mesyuarat pertama pada 16 Februari, 30 Mac hingga 8 April 2009 (8 hari).

2. Mesyuarat kedua pada 6 Julai hingga 14 Julai 2009 (6 hari).

3. Mesyuarat ketiga pada 9 Disember hingga 22 Disember 2009 (8 hari)

Penggal Pertama
1. Mesyuarat pertama pada 29 April dan 26 Mei hingga 4 Jun 2008 (8 hari). Maklumat lengkap

2. Mesyuarat kedua pada 15 Julai hingga 24 Julai 2008 (7 hari). Maklumat lengkap

3. Mesyuarat ketiga pada 1 Disember hingga 18 Disember 2008 (10 hari). Maklumat lengkap

Waktu Persidangan
Waktu Persidangan ialah dari pukul 10.00 pagi hingga 1.00 tengahari dan 2.30 petang hingga 5.30 petang pada hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.

Rang Undang-Undang Yang diluluskan pada 7 Mac hingga 7 April 2011

Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen Ke 12 pada 7 Mac hingga 7 April 2011 (Dewan Rakyat), 18 hingga 28 April 2011)

1. Perbahasan Usul dibuat oleh Yang Berhormat Datuk Wira Ahmad bin Haji Hamzah [ Jasin ] dan masalah dicadangkan :-

“ Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:-

“ Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Tuanku semasa membuka Penggal Keempat Parlimen Yang Kedua Belas.” - Menyambung semula Perbahasan atas masalah (9 Mac, 2011 – 24 Mac 2011)

2. (D.R. 6/2011) Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2010) 2011 - dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Kedua 2010 seperti berikut :

Menteri Kewangan akan mencadangkan :-

“Bahawa Dewan ini mengikut subseksyen 4(3) Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, membuat ketetapan bahawa jumlah wang tambahan sebanyak satu bilion sembilan ratus empat puluh enam juta lima ratus sembilan puluh lapan ribu enam ratus lapan ringgit (RM1,946,598,608) diperuntukkan daripada Kumpulan Wang dan Butiran-butiran (Projek-projek) seperti yang dinyatakan dalam ruang pertama dan kedua penyata Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tambahan Kedua, 2010 yang dibentangkan sebagai Kertas Perintah 2 Tahun 2011 dan yang disenaraikan di sebelah Maksud-maksud dan Butiran-butiran (Projek-projek) dalam ruang kesebelas dan kedua belas penyata tersebut.”

2. (D.R. 47/2010) Rang Undang-undang Tenaga Boleh Baharu 2010 -[ Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ]

4 April 2011
3. (D.R. 43/2010) Rang Undang-undang Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2010 - [ Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ]

6 April 2011
4. (D.R. 34/2010) Rang Undang-undang Juruanalisis Makanan 2010 - [ Kementerian Kesihatan ]

5. (D.R. 38/2010) Rang Undang-undang Perkapalan Saudagar (Pindaan dan Peluasan) 2010 - [ Kementerian Pengangkutan ]

6. (D.R. 39/2010) Rang Undang-undang Perkapalan Saudagar (Pencemaran Minyak) (Pindaan) 2010 - [ Kementerian Pengangkutan ]

7 April 2011
7. (D.R. 42/2010) Rang Undang-undang Timbang Tara (Pindaan) 2010 - [ Perdana Menteri ]

8. Menteri Kewangan akan mencadangkan:-
"Bahawa Dewan ini mengikut peruntukan subperenggan 8(3)(a)(iv) Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61], mengambil ketetapan bersetuju supaya Kerajaan melalui Menteri Kewangan (Pemerbadanan) membuat pelaburan dengan memperoleh sejumlah 10,000,000 unit saham biasa Danalnfra Nasional Berhad, sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Pemerbadanan) pada nilai RM1 bagi satu unit saham."

9. Menteri Kewangan akan mencadangkan:-
"Bahawa Dewan ini mengikut peruntukan perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 [Akta 275], mengambil ketetapan supaya Kerajaan memindahkan sebanyak RM15,500 juta wang terimaan Terbitan Pelaburan Kerajaan (TPK) yang diterima di bawah seksyen 3(1) Akta yang sama ke Kumpulan Wang Pembangunan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] bagi maksud Kumpulan Wang tersebut.”

10. Menteri Kewangan akan mencadangkan:-
“Bahawa Dewan ini, mengikut peruntukan di bawah Seksyen 10(4)(a) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972), membuat ketetapan bersetuju supaya Jadual Kedua Akta tersebut dipinda dengan menambah kepadanya butiran baru seperti berikut:-
‘Kumpulan Wang Amanah Kebudayaan dan Kebajikan Penggiat Seni’.”

11. Menteri Kewangan akan mencadangkan:-
“Bahawa Majlis ini mengambil ketetapan iaitu menurut kuasa yang diletakkan padanya oleh Seksyen 11 subseksyen 2 Akta Kastam 1967 supaya Perintah Duti Kastam berikut yang dibentangkan di hadapan Majlis ini sebagai kertas statut bil. ST.14 dan ST.15 tahun 2011 disahkah.”

12. Menteri Kewangan akan mencadangkan:-
“Bahawa Majlis ini mengambil ketetapan iaitu menurut kuasa yang diletakkan padanya oleh subseksyen 5(3) Akta Cukai Perkhidmatan 1975 supaya perintah Cukai Perkhidmatan yang dibentangkan di hadapan Majlis ini sebagai kertas statut bil. ST.16 tahun 2011 disahkan.”

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2008