Dewan Negara - 31 Mac 2009 (Selasa)
Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Negara
a. Doa
b. Pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan
1. Tuan Khoo Soo Seang minta MENTERI KEWANGAN menyatakan bagaimanakah Kerajaan memastikan rakyat jelata nampak kesan-kesan yang ketara usaha Kerajaan untuk merangsang ekonomi negara dan seterusnya mengukuhkan keyakinan mereka terhadap ekonomi negara.
2. Datuk Akbar bin Ali minta MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI menyatakan berapa banyak inovasi yang telah dibuat sejak 2004 hingga 2008 dan berapa banyak pula sumbangannya kepada GDP negara.
3. Datuk Sim Kheng Hui minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah kemungkinan Kerajaan dan pihak pembangkang dapat mengetepikan persaingan politik dan bekerjasama untuk menangani krisis ekonomi, seperti mana yang disarankan oleh masyarakat umum menerusi kajian media massa.
4. Tuan Haji Ahamat@Ahamad bin Yusop minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan sejauh manakah keberkesanan kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) di IPTA dan IPTS berjaya mendedahkan para siswa universiti membentuk sikap hidup yang terbuka untuk menghargai kepelbagaian budaya, agama dan masyarakat di Malaysia.
5. Dato' Haji Ikhwan Salim bin Dato' Sujak minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN menyatakan apakah pihak Perbadanan Putrajaya akan memperbanyakkan lagi kawasan meletak kenderaan di antara Parcel A ke E memandangkan banyaknya kenderaan yang diletakkan di bahu jalan yang mengakibatkan pihak Polis terpaksa menyaman mereka kerana ianya menjejaskan imej negara.
6. Datuk Chandrasekar Suppiah minta PERDANA MENTERI menyatakan senarai projek-projek di bawah PFI dan PPP yang telah diluluskan dan yang sedang dikaji dan bagi tahun 2008, 2009 dan 2010. Apakah sekitar dan bidang yang akan diberi tumpuan untuk projek dalam kaedah ini dan apa pra-syaratnya.
7. Puan GK Loga Chitra minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan bilangan kes yang didaftarkan di bawah Program Cari mengikut kaum, jantina dan negeri.
8. Datin Paduka Datuk Nor Hayati Binti Tan Sri Dato' Seri Onn minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA menyatakan mengapa harga barang-barang keperluan asas masih lagi tinggi memandangkan seluruh dunia mengalami deflasi dan harga minyak di paras terendah sejak tahun ‘bretton wood’ dibubarkan. Mengapa pihak ketiga/pembekal masih lagi degil untuk tidak menurunkan harga-harga barang asas. Apakah pihak Kementerian tidak boleh membuat apa-apa selain retorik.
9. Puan Usha Nandhini a/p S. Jayaram minta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI menyatakan :-
(a) apakah kesan kejatuhan harga getah tiruan (synthetic rubber) terhadap harga getah asli (natural rubber) sejak kebelakangan ini; dan
(b) bagaimanakah tahap kejayaan negara di pasaran dunia di dalam industri getah.
10. Puan Mumtaz binti Md. Nawi minta MENTERI KEWANGAN menyatakan piawaian dan model audit dan perakaunan kewangan Islam yang diguna pakai di dalam sistem perbankan Islam Malaysia dan apakah jaminan bahawa semua bank mengasingkan tunai secara fizikal bagi perkiraan pendapatan konvensional dan syariah dalam mengira keuntungan dan percukaiannya.
11. Datuk Maijol bin Mahap minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA menyatakan sama ada Kerajaan bercadang untuk meminda Akta Perlindungan Pengguna 1999 khususnya mengenai pengiklanan yang mengelirukan disebabkan kelemahannya yang ada pada Akta itu sekarang.
12. Tuan Rawisandran a/l Narayanan minta MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan apakah usaha-usaha yang sedang dan bakal diambil oleh Kementerian untuk menarik perhatian ramai lagi pelajar bukan Bumiputera supaya menyertai kursus-kursus yang dikendalikan oleh kolej swasta, contohnya Kolej Komuniti.
13. Tuan Osman bin Bungsu minta MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH menyatakan apakah usaha-usaha Kerajaan untuk melindungi kepentingan Orang Asli selain dalam Akta 134 yang ada seperti menubuhkan Dana Amanah Rakyat Orang Asli dan sebagainya.
14. Dato' Haji Abdul Rahman bin Bakar minta PERDANA MENTERI menyatakan usaha yang dilakukan untuk memastikan beberapa buah pulau yang menjadi pertikaian antara negara Indonesia, Singapura dan Filipina dapat diselesaikan dengan segera dan keputusannya memihak kepada negara kita.
15. Puan Heng Seai Kie minta MENTERI PENGANGKUTAN menyatakan apakah rancangan Kerajaan dalam usaha meningkatkan kemudahan sistem pengangkutan di negeri Perak sebagai alternatif sekiranya Lapangan Terbang di Ipoh tidak dapat dibuka semula.
b. Datuk Haji Roslan bin Awang Chik akan mencadangkan:-
“ Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:-
“ Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Negara Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Negara mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Tuanku semasa membuka Penggal Kedua Parlimen Yang Kedua Belas.”.
- Perbahasan -
Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) lengkap SILA KLIK.
0 comments:
Post a Comment