Dewan Negara 23 April 2012 (Isnin)
Aturan Urusan Mesyuarat [ KLIK ]
a. Doa
b. Pertanyaan Bagi Jawab Lisan
1. Tuan Ahmad bin Hussin minta PERDANA MENTERI menyatakan:-
(a) apakah faedah-faedah yang akan dinikmati oleh peneroka dan kakitangan FELDA sempena penyenaraian FELDA Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia; dan
(b) apakah risiko-risiko yang akan dihadapi oleh FGVH setelah disenaraikan kelak.
2. Tuan Lihan Jok minta MENTERI KEWANGAN menyatakan sama ada penduduk Malaysia yang sepatutnya menerima Bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) berpeluang untuk memohon untuk kali yang kedua sekiranya gagal pada permohonan yang pertama. Nyatakan bagaimana cara permohonan kedua ini dibuat.
3. Puan Hajah Noriah binti Mahat minta PERDANA MENTERI menyatakan sejauh manakah konsep wasatiyyah diserap dan dilaksanakan dalam visi dan misi kita ke arah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020 dan menjadikan kita sebagai role model atau negara contoh kepada negara lain di seluruh dunia.
4. Dato' Dr. Johari bin Mat minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan sejauh manakah sistem yang telah dilaksanakan bagi mengatasi kadar jenayah di negara ini. Apakah langkah-langkah Kementerian dalam mengatasi isu ini.
5. Datuk Chiw Tiang Chai minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan hala tuju PROTON sebagai peneraju industri automotif tempatan selepas pengambilalihan oleh DRB HICOM dalam membangunkan model bermutu tinggi serta diterima di peringkat pasaran antarabangsa.
6. Dato' Zaitun binti Mat minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan langkah-langkah Kementerian untuk melatih warga tempatan menjadi pembantu rumah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pembantu rumah asing khususnya dari Indonesia.
7. Puan S. Bagiam a/p Ayem Perumal minta PERDANA MENTERI menyatakan sejauh manakah pencapaian 1MDB setakat ini dalam membawa hala tuju pembangunan ekonomi negara ke arah mencapai matlamat pembanguan sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
8. Dato' Boon Som a/l Inong minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan bilakah kadar liputan telefon bimbit serta internet di negara ini akan mencapai tahap 100 peratus memandangkan masih ada kawasan tertentu terutama di luar bandar yang masih sukar dihubungi menerusi telefon bimbit serta sukar untuk mengakses maklumat menerusi internet. Apakah langkah-langkah yang akan diambil untuk mengatasi masalah berkenaan.
9. Tuan Baharudin bin Abu Bakar minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan apakah usaha-usaha yang dilakukan oleh Kementerian dalam memantau perkembangan gejala sosial di kalangan belia, terutama di kawasan-kawasan Program Perumahan Rakyat (PRT).
10. Dato' Abdul Rahim bin Abdul Rahman minta PERDANA MENTERI menyatakan mengenai tahap kejayaan TERAJU semenjak ianya ditubuhkan dan berapakah syarikat Bumiputera yang mendapat manfaat daripadanya.
11. Dato' Haji Abdul Rahman bin Bakar minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR menyatakan bilakah masalah air bersih akan selesai sepenuhnya di seluruh negara. Apakah usaha terbaru Kementerian untuk menangani masalah air bersih di sesetengah negeri seperti Kelantan, Terengganu, dan Perlis yang agak membimbangkan terutama apabila berlaku musim kemarau yang panjang.
12. Tuan Saiful Izham bin Ramli minta MENTERI KEWANGAN menyatakan kenapakah UDA Holdings lebih gemar menjual plot tanah di kawasan-kawasan strategik yang mempunyai nilai yang tinggi berbanding dengan membangunkan tanah-tanah tersebut sebagaimana asas penubuhannya suatu masa dulu dan kemudiannya mendapat pulangan dalam bentuk perolehan secara berkala serta apakah perancangan terkini UDA Holdings untuk membangunkan 8 hektar tanah bekas Penjara Pudu.
13. Dato' Dr. Yeow Chai Thiam minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan isi kandungan cadangan gaji minimum oleh Kementerian dan bagaimanakah ia akan dilaksanakan.
14. Datuk Haji Yunus bin Haji Kurus minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian dan pihak MIDA sendiri dalam usaha menarik lebih ramai pelabur asing bertaraf antarabangsa untuk melabur di Labuan.
15. Dato' Dr. Firdaus bin Haji Abdullah minta MENTERI PELAJARAN menyatakan sekiranya Kementerian bermaksud untuk meluaskan pemasyarakatan (melebar luaskan penyibaran gagasan) MBMMBI agar diketahui, difahami dan dihayati oleh anggota masyarakat yang lebih luas dan tidak terbatas kepada warga Kementerian Pelajaran sahaja. Setakat ini persepsi umum ialah seakan-akan MBMMBI itu hanyalah tanggungjawab Kementerian Pelajaran sahaja dan bukannya merupakan satu agenda nasional.
c. Perbahasan Rang Undang-Undang dan Usul-Usul
1. Menteri Dalam Negeri akan mencadangkan:-
“ Bahawa Majlis ini memerintahkan Ketua Polis Negara menjaga supaya selama Penggal Dewan Negara yang ada sekarang, jalan-jalan melalui lorong-lorong menuju ke Dewan ini hendaklah sentiasa terbuka dan boleh dilalui dan jangan ada apa-apa halangan menghalang ahli-ahli hendak pergi dan balik dari Dewan ini, jangan berlaku apa-apa kacau-bilau di jalan-jalan menuju ke Dewan ini, dan supaya jangan ada huru-hara di Bangunan Dewan ini dan berhampiran dengan bangunan ini, dan Setiausaha Dewan Negara hendaklah menyampaikan perintah ini kepada Ketua Polis Negara yang tersebut itu. “
2. Yang Berhormat Tuan Khoo Soo Seang akan mencadangkan:-
“ Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:-
“ Ampun Tuanku, Patik, Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Dewan Negara Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Negara mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih kerana Titah Ucapan Seri Paduka Baginda semasa membuka Penggal Kelima, Parlimen Yang Kedua Belas.”
3. (D.R. 3/2012) Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2011) 2012 [ Kementerian Kewangan]
0 comments:
Post a Comment