Dewan Negara 20 Julai 2010 (Selasa)
Aturan Urusan Mesyuarat [ KLIK ]
A. Doa
B. Pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan
1. Puan Hajah Noriah binti Mahat minta MENTERI PELAJARAN menyatakan status dasar pendidikan kanak-kanak tanpa dokumen bukan warganegara dan apakah perancangan Kementerian dalam memberi pendidikan kepada kanak-kanak tersebut bagi mengatasi masalah buta huruf dan melaksanakan pendidikan untuk semua.
2. Tuan Ng Fook Heng minta MENTERI KEWANGAN menyatakan apakah mekanisme atau pemantauan Kerajaan gunakan untuk memastikan RMK-10 akan dapat dilaksanakan dengan baik dan tepat.
3. Puan Hajah Mumtaz binti Md. Nawi minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah kriteria utama pelantikan hakim di negara ini, jumlah hakim wanita yang telah dilantik dan juga sasaran jumlah hakim wanita pada 2020.
4. Puan Hajah Zainun binti A. Bakar minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk membina jalan raya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) menggunakan turapan konkrit berbanding turapan premix (tar) yang diamalkan sekarang dan nyatakan rasionalnya.
5. Dato' Haji Abdul Rahman bin Bakar minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan rancangan pembangunan Kg. Baru serta kampung tradisi yang lain di dalam Wilayah Persekutuan. Kenapakah masa yang diambil terlalu lama
untuk membangunkan Kg. Baru dan kampung-kampung tradisi yang lain, sedangkan tempat-tempat yang lain terus membangun dengan pesatnya.
6. Tuan Mohd. Khalid bin Ahmad minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan adakah benar kenyataan bahawa Kerajaan bercadang akan menurunkan subsidi tahunan berjumlah RM720 juta untuk beras gred rendah Super Tempatan 15 (ST15) dan
bagaimanakah kepentingan rakyat berpendapatan rendah dapat dilindungi di bawah Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (SUBUR).
7. Tuan Mohamad Ezam bin Mohd Nor minta MENTERI KEWANGAN menyatakan senarai dan jumlah syarikat di bawah Bursa Malaysia yang telah diberikan amaran dan digantung akibat permasalahan kewangan dan penyelewengan pengurusan oleh Suruhanjaya Sekuriti sejak 10 tahun lalu.
8. Dato' Musa bin Haji Sheikh Fadzir minta PERDANA MENTERI menyatakan apakah pendapat pihak Kerajaan dengan cadangan penubuhan Dana Wakaf 1Malaysia yang mampu membantu umat Islam dan bukan Islam mengatasi masalah kemiskinan di mana di negara lain, dana wakaf sudah menyumbang ke arah kecemerlangan rakyat sama di dalam bidang pendidikan, perubatan, pertanian dan pembangunan spiritual.
9. Dato' Haji Abdul Rashid bin Ngah minta MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT menyatakan adakah Kementerian telah melakukan sesuatu kajian yang menyeluruh mengenai masalah pembuangan bayi dan apakah hasil dari kajian itu.
10. Dato' Haji Kamarudin bin Haji Ambok minta MENTERI KEWANGAN menyatakan jumlah lesen syarikat insurans dan takaful yang beroperasi pada masa kini dan prestasi pertumbuhan sektor ini dalam pasaran tempatan dan unjuran bagi kelangsungan pertumbuhan mapan sektor ini di pasaran tempatan.
C. Perbahasan Rang Undang-Undang dan Usul-Usul
1. Perdana Menteri akan mencadangkan :-
“ Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian
sosioekonomi semasa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan dalam menghadapi persekitaran global yang begitu mencabar;
merestui usaha Kerajaan untuk terus melaksanakan Misi Nasional dengan disokong oleh Model Baru Ekonomi sebagai rangka dasar pembangunan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020;
meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh yang akan dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik, program dan peruntukan yang diperlukan untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan membawa negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020 seperti dibentangkan dalam Kertas Perintah CMD.3 Tahun 2010;
Bahawa dalam meluluskan Rancangan Malaysia Kesepuluh, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu padu dengan semangat “1Malaysia : Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” dan mempunyai iltizam yang teguh bagi melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk menjayakan pelan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing, demi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.”
[ Perbahasan: Senator Ahmad, Senator Dr Syed Husin, Senator Datuk Ridzuan Abdul Malik,]
2. (D.R. 14/2010) Rang Undang-undang Setem (Pindaan) 2010 - Menyambung semula Perbahasan atas masalah “Bahawa Rang Undang-undang ini dibacakan kali yang kedua sekarang”. (19 Julai, 2010) (Menteri Kewangan)
0 comments:
Post a Comment